Thursday, January 12, 2012

Petanda Krisis 2014 mula dirasai

Petanda awal krisis bekalan air di Lembah Klang yang dijangka berlaku pada 2014 kini sudah mula menunjukkan tanda-tanda apabila 2.2 juta penduduk di empat kawasan kini menghadapi gangguan bekalan akibat penggunaan melebihi pengeluaran sejak awal tahun ini.



Akibat daripada itu, dua buah loji utama yang membekalkan air di Lembah Klang iaitu Loji Rawatan Air Sungai Langat dan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih kini terpaksa beroperasi melebihi kapasiti sebenar untuk menampung bekalan ke daerah Hulu Langat, Petaling, Sepang dan Kuala Langat.
Difahamkan, jumlah pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat meningkat kepada 468 juta liter sehari berbanding kapasiti sepatutnya hanya 386 juta liter sehari (JLH) manakala bagi LRA Sungai Semenyih meningkat kepada 682 JLH berbanding kapasiti reka bentuknya hanya 545 JLH.
Pada 5 Januari lalu, empat kawasan berkenaan mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual secara tiba-tiba dan mungkin akan berulang pada masa akan datang.
Kawasan berkenaan mendapat bekalan daripada dua loji utama iaitu LRA Sungai Langat dan LRA Sungai Semenyih yang masing-masing diuruskan oleh Puncak Niaga Sdn. Bhd. (Puncak Niaga) dan sebuah anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (ABASS).
Punca utama gangguan bekalan air itu adalah disebabkan kadar pengeluaran air yang terhad di LRA Sungai Langat dan LRA Sungai Semenyih.
Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail berkata, keadaan seperti itu akan terus berlaku dari semasa ke semasa ekoran tahap pengeluaran air di dua loji berkenaan sudah tidak mampu menampung permintaan yang semakin meningkat.
Oleh itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan dan Selangor supaya menyelesaikan segera masalah pelaksanaan projek pembinaan loji rawatan air dan pembinaan empangan bagi mengelak berlakunya krisis bekalan air menjelang 2014.

No comments: