Wednesday, April 6, 2011

Laman Hidayah-Overload

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته٬
OVERLOAD
Firman Allah s.w.t: “Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya” Al-Baqarah: 286

Anda disaran membuka mushaf untuk membaca ayat ini. Atau klik:- http://quran.al-islam.com untuk membaca secara online.

Pengajaran daripada maksud ayat:
  • Ayat ini merupakan ayat terakhir dalam surah Al-Baqarah. Sering menjadi wirid selepas solat dan dibaca di waktu pagi dan petang.
  • Kita sering merasakan ditimpa pelbagai cabaran dan masalah dalam hidup kita. Tiada manusia hidup tanpa cabaran. William Churchill pernah berkata: “Jika kamu mengatakan kamu tiada masalah maka aku isytiharkan kamu telah MATI”.
  • Hakikatnya, Allah s.w.t lebih mengetahui kemampuan kita, sejauh mana seseorang itu mampu menanggung bebanan yang diberi kepadanya.
  • Setiap tugasan adalah ibadah selagi mana ia dilaksanakan mengikut syariat dan niat yang betul, pasti akan dibalas dengan pahala dan syurga yang tidak ternilai harganya.
  • Jika difikirkan pengajaran ayat ini, semua tugasan dan jawatan yang diberikan kepada kita adalah mampu dan layak kita lakukan. Jika tidak, tugas dan jawatan itu tidak akan diberikan kepada kita.
Justeru amat wajarlah sambungan ayat ini dijadikan sebagai doa harian kita:

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan mengatasi kaum-kaum yang kafir (tidak beriman).” Al-Baqarah: 286.