السلام عليكم ورحمة الله وبركاته٬
Amanah Saham Akhirat
Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Barang siapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahala orang berkenaan, dengan tidak mengurangi pahala orang yang berpuasa (penerima makanan) tersebut sedikitpun” (Riwayat Tirmidzi). Pengajaran daripada maksud hadith:
- Insentif hebat kepada wanita khususnya mereka yang bergelar ‘Isteri’ yang menyediakan hidangan dan juadah berbuka dan hidangan sahur untuk ahli keluarga.
- Berikut adalah dialog antara Saidina Ali r.a dan isteri Baginda, Saidatina Fatimah binti Rasulullah s.a.w ketika mereka dengan rela menyerahkan makanan kesayangan mereka kepada anak yatim, fakir miskin dan tawanan perang sedangkan mereka sendiri menahan lapar selama empat hari kerana semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t. Setiap ungkapan perkataan mereka berdua telah dirakam keseluruhannya di dalam Al-Qur’an sebagai pengiktirafan kepada mereka berdua. Berikut adalah maksud ayat 8 hingga 12 dari surah Al-Insan tersebut:
- Ayat 8: “Dan mereka (Saidina ‘Ali dan isterinya) memberikan makanan yang dikasihi kepada orang miskin (hari pertama), anak yatim (hari kedua) dan orang tawanan (hari ketiga)”.
- Ayat 9: “(Mereka berkata): Kami memberi makanan kepadamu kerana semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki daripadamu sebarang balasan dan tidak pula ucapan terima kasih”.
- Ayat 10: “(Mereka berkata lagi): Sesungguhnya kami takut akan tuhan kami (Allah) pada hari di mana, ramai orang yang bermuka masam menjadi tersangat masam”.
- Ayat 11: “Kemudian Allah memelihara mereka dari kejahatan pada hari itu dan menganugerahi mereka dengan wajah yang berseri-seri dan hati yang gembira”.
- Ayat 12: “Dia (Allah) membalas mereka kerana kesabaran mereka dengan nikmat Syurga dan pakaian sutera”.
- Bayangkan betapa mereka suami isteri saling sefahaman dalam melakukan amal kebajikan, sanggup mendahulukan orang lain daripada keenakan diri sendiri kerana cinta kasih kepada sesama insan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.
- Apakah berbaloi pengorbanan mereka tempoh hari dengan kenikmatan yang dapat kita bayangkan untuk mereka yang sedang dikecapi sekarang?.