Rasulullah pupuk kasih sayang, tidak rotan anak
SEORANG pembaca yang juga bapa bertanya mengenai penggunaan rotan dalam
mendidik anak iaitu pada usia berapakah beliau boleh berbuat demikian?
Apabila membicarakan soal merotan anak, kita tidak harus melupakan hak
mereka dalam Islam.
Dalam Islam, kanak-kanak mempunyai lima hak asasi yang dipanggil
(dharuriyatu khamsin). Ia mesti dipelihara seperti hak asasi semua manusia.
Hak itu ialah pemeliharaan hak beragama (hifdzud dien), jiwa (nafs), akal
(aql), harta (mal) dan pemeliharaan keturunan atau nasab (nasl) serta
kehormatan ('ird).
Keluarga Islam mempunyai tugas berat dalam membangunkan, memelihara dan
mempertahankan hak anak sebagai generasi masa depan.
Jika lalai dan leka, kita akan mengalami kenyataan pahit generasi yang
hilang¡ Ia bermakna bukan hilang bilangan atau kuantiti, tetapi generasi
Muslim yang hilang identiti dan keimanan.
Mungkin secara lahiriah mereka kelihatan cerdas, bersih, tegap dan kuat,
tetapi jiwa mereka kosong iman dan Izzah Islam.
Berbalik kepada isu merotan, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun dan pukul mereka
sekiranya tidak bersembahyang pada usia 10 tahun dan pisahkan antara mereka
di tempat tidur.
Ulama berpendapat daripada hadis itu, Islam menyuruh ibu bapa mengajar anak
membiasakan diri dengan ibadat sama ada sembahyang, berpuasa dan bersedekah
sejak kecil.
Hikmahnya supaya anak dapat mengenali hukum hakam dalam beribadat sejak
kecil, menanamkan rasa kecintaan kepada Allah, mensyukuri segala nikmat
Allah, menyucikan jiwa anak, kesihatan fizikal, akhlak dan perbuatan serta
perkataannya.
Saidina Ali juga berpesan supaya kita mendidik anak mengikut tahap
kecerdikannya. Pesannya: pada tujuh tahun yang pertama, bermain dengan anak
kamu, didik anak kamu pada tujuh tahun berikutnya serta berkawan dengannya
pada tujuh tahun selepas itu.
Pesannya bermaksud kita harus bermesra, bermain dan bergurau dengan anak
ketika kecil hingga berusia tujuh tahun.
Apabila anak tiba usia ke sekolah iaitu tujuh hingga 14 tahun, didik dan
disiplinkan mereka, serta ajar tatacara beribadah dengan betul, di samping
menghormati hak orang lain dan menunaikan suruhan guru.
Selepas anak memasuki umur remaja 14 hingga 21 tahun, kita perlu menjadi
kawan kepadanya supaya dia dapat merujuk masalah dan mengadu kepada ibu bapa
jika menghadapi masalah.
Jika ibu bapa tidak menjadi sahabat kepada remaja, dikhuatiri kawannya yang
liar atau tidak berdisiplin menjadi penasihat kepadanya. Pada waktu itu,
agak terlambat untuk berbaik dengan anak atau menasihatinya.
Berbalik kepada hadis di atas, jika perlu merotan anak, ibu bapa boleh
berbuat demikian selepas anak berumur 10 tahun.
Mengapa pada umur 10 tahun?
Pakar psikologi berpendapat anak yang berumur prabaligh (sekitar 10 hingga
12 tahun) boleh memahami kesan hukuman yang dikenakan dan sebab perbuatan
itu tidak dibenarkan atau boleh dilakukan.
Anak yang kecil tidak faham jika dia didenda atas kesalahannya.
Justeru, jika anak kecil didenda, dia mungkin mengulangi perbuatannya itu
tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Dia tidak melakukan perbuatan itu jika ibu bapa ada atau jika dia mendapat
ganjaran dengan tidak melakukan perbuatan itu.
Contohnya, kalau dia tidak memukul adik, ibu akan memberinya coklat tetapi
jika ibu tiada atau tidak memberinya coklat, dia akan memukul adiknya
semula.
Ada pelbagai hukuman boleh dikenakan sebagai denda kepada anak. Antaranya
menarik balik keistimewaan tertentu seperti tidak boleh menonton televisyen
jika mereka tidak siap kerja sekolah.
Hukuman yang menyebabkan kesakitan fizikal seperti rotan sepatutnya
dilakukan sebagai jalan terakhir selepas segala usaha dijalankan.
Hukuman yang menyebabkan kesakitan akan meninggalkan kesan mendalam kepada
perkembangan emosi anak.
Jangan menghukum anak dengan hukuman yang memalukan mereka seperti
memarahinya di hadapan kawan (terutama remaja). Ini menyebabkan anak kecewa
dan berasa rendah diri.
Jika anak harus dirotan, ibu bapa sewajarnya memberitahu apakah kesalahannya
yang menyebabkan dia dirotan.
Amaran awal harus diberi iaitu jika peraturan tertentu dilanggar, anak boleh
dirotan.
Berikan peluang kepada anak terlebih dulu seperti amaran kedua sekiranya
anak masih melanggar peraturan itu. Jika peraturan itu masih tidak dipatuhi
buat kali kedua atau ketiga, baru anak boleh dirotan.
Paling penting ialah perbetulkan niat kita sebelum melakukan apa-apa dan
minta ampun serta petunjuk daripada Allah.
Jangan merotan anak untuk menyakiti mereka tetapi rotan mereka dengan tujuan
mendidik. Jangan pukul mereka di muka. Cukup dengan merotan mereka pada
punggung yang kesan kesakitan kurang dirasakan.
Memadailah dengan satu hayunan rotan saja untuk menyedarkan anak dan katakan
bahawa tujuan ibu bapa merotan kerana menyayangi mereka.
Jangan rotan anak di hadapan anak yang lain kerana ini akan memalukannya.
Bagaimanapun, tidak adil untuk kita menghukum anak jika ibu bapa tidak
berusaha untuk mendidik mereka dan tidak menerangkan setiap perkara yang
harus menjadi panduan serta tidak mendisiplinkan mereka dari kecil.
Menasihati anak perlu dilakukan secara berterusan, di samping memantau
perkembangan pelajaran, kesihatan dan pergaulan sosial.
No comments:
Post a Comment